Oleh M. RIZAL NOR
PARA pemain Felda United meraikan kejayaan menewaskan Selangor 3-1 pada aksi Liga Super di Jengka kelmarin.
FELDA United semakin selesa beraksi di atas padang rumput tiruan apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut di laman sendiri kelmarin.
Kali ini, gergasi Lembah Klang, Selangor menjadi mangsa Felda United dengan jaringan 3-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.
Ketua Jurulatih Felda United, Irfan Bakti Abu Salim berkata, anak-anak buahnya berjaya mempamerkan mutu permainan yang mantap sehingga membolehkan mereka mengutip tiga mata penuh untuk menerajui Liga Super dengan 18 mata.
“Saya sangat berpuas hati dan hanya pujian yang mampu saya berikan kerana menewaskan pasukan hebat seperti Selangor satu kepuasan bagi kami.
“Biarpun Selangor memulakan serangan pada awal permainan, namun anak-anak buah saya berjaya menyerap segala tekanan dan hasilnya kami memperoleh gol awal pada minit kesembilan menerusi Mohd. Hadin Azman,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Beliau berkata, pemain di setiap posisi beraksi dengan baik menerusi corak permainan kemas sehingga berjaya merantai jentera serangan Gergasi Merah yang diketuai oleh Patrick Ronaldinho.
“Saya juga kagum dengan aksi mantap penjaga gol, Mohd. Fahrizal Harun yang beraksi cemerlang untuk menyelamatkan beberapa percubaan bahaya pihak lawan,” ujarnya.
Menurut Irfan Bakti, kerjasama mantap dalam kalangan pemain sepanjang 90 minit perlawanan antara kunci kejayaan dan kelebihan beraksi di laman sendiri dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kejayaan ini kita hadiahkan kepada lebih 9,000 penyokong yang hadir malam ini (kelmarin) dan kita harap lebih ramai warga Felda turun untuk memberi sokongan pada perlawanan akan datang,” jelasnya.
Pada aksi malam kelmarin, Felda United membuka tirai jaringan menerusi Hadin pada minit kesembilan, namun Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-71 menerusi Ronaldinho.
Anak buah Irfan Bakti tidak menunggu lama apabila Zahrahan Krangar meledakkan gol kedua empat minit kemudian menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.
Sorakan penyokong Felda United bergema lagi apabila Francis Forkey Doe menjaringkan gol ketiga pada minit ke-77, sekali gus memadamkan hasrat Selangor untuk meleburkan rekod tanpa kalah The Fighters.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0410&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz45Qhes5aa Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan