ISNIN 25.4.2016
Oleh SAHLIZAH MOHAMED
PEMAIN Perak, Ahmad Khairil Anuar (tengah) berjaya mengawal bola daripada dirampas pemain Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi. Perak menang 3-2.
PERAK bangkit garang selepas ketinggalan 1-2 pada separuh masa pertama untuk mencatat kemenangan 3-2 ke atas Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Perak meleburkan rekod tanpa kalah skuad yang mendapat jolokan The Fighters itu yang kekal kebal dalam lapan perlawanan liga sebelum ini.
Walaupun mengalami kekalahan, namun Felda United yang berkongsi 21 mata dengan Johor Darul Takzim (Johor DT) masih kekal menerajui carta liga dengan kelebihan jaringan.
Perak yang sebelum ini menduduki tangga kesepuluh, melonjak ke tangga kelapan liga dengan mengumpul 10 mata dan ia merupakan kemenangan pertama skuad kendalian Syamsul Saad itu di gelanggang sendiri musim ini.
Pada aksi malam tadi, tuan rumah terlebih dulu memecah kebuntuan apabila memperoleh jaringan pembukaan menerusi Muhammad Firdaus Saiyadi (m-12), namun kedudukan tersebut tidak kekal lama apabila Felda United bangkit menjaringkan dua gol menerusi Francis Forkey Doe pada minit ke-23 dan ke-33.
Pada separuh masa kedua, Perak seolah-olah buntu untuk meloloskan diri, namun usaha keras mereka akhirnya berbaloi apabila dihadiahkan dua gol pada penghujung perlawanan menerusi jaringan pemain import, Elias Fernandes pada minit ke-75 dan ke-81.
Walaupun ketinggalan, Felda tetap memberi tentangan tetapi benteng pertahanan Perak kental bertahan dan kedudukan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat tuan rumah.
Pada satu lagi perlawanan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, tuan rumah harus menyalahkan diri mereka sendiri selepas tewas 2-3 kepada T-Team.
Penyerang import T-Team, Patrict muncul wira pasukannya apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-87 ketika permainan dilihat akan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Sebelum itu, Patrict telah menjaringkan gol kedua T-Team pada minit ke-40 selepas jaringan pembukaan oleh Mohd. Asrol Ibrahim (m-31).
Pulau Pinang pula memperoleh jaringan mereka pada separuh masa kedua menerusi Reinaldo Lolo pada minit ke-62 dan Osas Ikpefua (m-74).
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz46nXzNDjd Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan