Jumaat, 10 Mac 2017

Tanah peneroka Felda Pasoh tidak dibeli

ARKIB : 28/08/2000
Saudara Pengarang,
SEJAK akhir-akhir ini heboh diperkatakan tentang isu para peneroka di Gugusan Felda Pasoh yang tertipu oleh satu sindiket yang berurusan untuk membeli tanah peneroka.

Ini menimbulkan suasana keresahan terhadap peneroka berkenaan yang dikatakan hampir 2,000 orang terlibat.

Kami adalah pihak yang terlibat secara terus menguruskan hal berkenaan sejak lebih tiga tahun yang lalu kali ini tampil untuk menafikan beberapa perkara dan menjelaskan serba sedikit tentang urusan sebenar dan matlamat serta hala tuju perjalanan projek ini.

Apa yang pihak kami usahakan adalah merupakan satu projek untuk membangunkan semula tanah ladang milik peneroka ke arah yang lebih baik.

Kaedah yang kami akan laksanakan adalah berkonsepkan usaha sama antara peneroka selaku tuan punya tanah dengan pemaju yang akan menerima pelaburan. Kami menafikan kenyataan yang mengatakan bahawa para peneroka akan menjual tanah ladang mereka dan memindah milik kepada pihak lain.

Konsep yang kami fahami ialah tidak ada sistem jual beli dan tidak ada proses pemindahan milik tanah berlaku.

Menerusi perundingan dengan pihak pelabur ia adalah lebih kepada pinjaman tanpa faedah dengan harga senilai RM140,000 pada setiap ekar tanah kami. Pihak pelabur hanya memerlukan jangka masa lebih kurang 15 tahun untuk menerima keuntungan daripada pelaburan ini dan seterusnya menyerahkan semula pembangunan tanah tersebut untuk diteruskan oleh generasi peneroka yang masih ada pada ketika itu.

Pihak kami ingin menjelaskan bahawa sepanjang pengurusan kami berhubung perkara ini, kami tidak pernah mengutip wang daripada peneroka.

Segala kos pengurusan dibiayai oleh kami sendiri selaku pengarah syarikat.

Maka tidak timbul soal peneroka ditipu dengan menanggung kerugian antara RM9,000 hingga RM50,000.

Kami sedar bahawa pengurusan perkara ini bukanlah semudah yang diperkatakan kerana ia memerlukan jangka waktu yang agak lama.

Juga kami maklumkan bahawa sepanjang ingatan kami, para peneroka belum ada menandatangani sebarang dokumen ataupun perjanjian.

Apa yang diperkatakan tentang draf perjanjian yang disediakan pada awal tahun 1997 telah tidak diguna pakai lagi kerana draf tersebut adalah berupa jual beli sedangkan konsep kami tidak sedemikian rupa.

Untuk makluman para peneroka dan pihak yang berkaitan, kami sedari bahawa sepanjang pengurusan ini, kami tidak pernah melanggar mana-mana akta atas dasar individu.

Kami fahami dalam proses untuk menjayakan projek ini, garis panduan pihak kerajaan kami guna pakai. Cuma secara jelasnya belum dapat kami terjemahkan kepada pihak berkuasa atas sebab tertentu.

Insya-Allah perkara ini akan kami utarakan kemudian dan ia tidak lari dari dasar yang telah ditetapkan. Pandangan dan sokongan pihak kerajaan amat kami perlukan.

Berdasarkan kepada kajian awalan yang kami jalankan, jelas kelihatan bahawa kepekaan para peneroka terhadap pembangunan tanah ladang milik mereka sendiri adalah tinggi.

Justeru, keuntungan yang bakal diperoleh oleh para peneroka adalah merupakan pegangan saham atau ekuiti 30 peratus dalam syarikat pemaju dan tabungan amanah saham amanah negeri.

Jelas bahawa keuntungan yang diperoleh adalah untuk jangka masa panjang dan peneroka tidak akan dapat menjadi jutawan dalam sekelip mata. Kemudahan pemilikan kenderaan juga ditawarkan melalui tempahan oleh para peneroka.

Setakat ini belum ada lagi perjanjian rasmi antara peneroka dan pembekal dilakukan. Tempahan yang dibuat adalah merupakan kajian kenderaan dan hasrat peneroka di samping pihak kami membantu syarikat kereta nasional.

Kami jelaskan di sini bahawa dalam pengurusan kami, tidak ada campur tangan pihak luar khususnya dalam kami membuat keputusan. Penglibatan segelintir pihak luar hanyalah sebagai satu pemangkin untuk kami mengenal pasti saluran yang terbaik untuk kami.

Akhir kata kami menegaskan bahawa kami tidak pernah terniat untuk menjual tanah ladang milik peneroka sebaliknya membangun sendiri tanah ladang kami dengan kaedah usaha sama melalui syarikat kami sendiri.

Kami berharap agar para peneroka di Felda Gugusan Pasoh dapat bersabar dan bertenang dalam menangani perkara ini.

Kami perlu memikirkan perkara-perkara yang bernas demi kebaikan kami dan kami tidak mahu tanah milik kami tergadai atau terlepas ke tangan pihak lain.

Kepada pihak-pihak tertentu yang telah menasihati kami tentang hak-hak kami dan kaedah perjalanan program kami diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

Insya-Allah, sekiranya ketentuan Tuhan berpihak kepada kita, tidak ada apa yang mampu menghalang dan begitulah sebaliknya. - PENEROKA PEMBANGUNAN Felda Gugusan Pasoh, Negeri Sembilan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4avA8hYSa © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan