Rabu, 14 September 2016

Pelajar Felda -- Salah laku masih berlaku

ARKIB : 12/08/1998
MUKADIMAH
Mungkinkah kehidupan di kawasan penempatan Felda jauh daripada kesibukan kota menjadi punca keruntuhan akhlak, sekali gus mencipta masalah sosial pelajar Felda?

Atau adakah kerana ibu bapa terlalu sibuk ke ladang sehingga anak-anak terbiar dan memberontak akibat kekurangan kasih sayang. Ia kemudian menjurus mereka ke dalam kancah lembah maksiat?

Atau mungkin juga kerana kemewahan segera peneroka masa kini menjadi punca masalah sosial pelajar Felda?

Wartawan Pendidikan, ROHANA MAN, mengulas isu masalah sosial pelajar Felda hari ini.

KES salah laku sosial dan jenayah seperti penyalahgunaan dadah, berkelakuan sumbang dan menyeleweng masih berleluasa di kawasan penempatan Felda.

Malah laporan daripada tiga kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selama dua tahun mulai 1994 - Perilaku Sosial Remaja di Semenanjung, Kaji Selidik Media melalui Akhbar dan Penyiasatan Kualitatif - menunjukkan Felda menghadapi banyak masalah sosial melibatkan remaja masih bersekolah berbanding kampung tradisional.

Laporan itu mendapat ulasan Penolong Pengarah Cawangan Khidmat Nasihat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sarijah Bejo. Katanya: ''Ini kerana masyarakat Felda terdiri daripada keluarga muda yang mengawal remaja.''

Kajian itu mendapati sebanyak 1,779 tanggungan peneroka terlibat dalam kes mengedar dan menagih dadah, berjudi, mencuri, merompak, memukul, merogol, mencabul kehormatan, berkhalwat, memeras ugut, pelacuran, memalsukan dokumen, mendera kanak-kanak, membuang bayi dan menyertai kongsi gelap sepanjang tahun 1996.

Berikutan itu, sehingga tahun lalu Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi terpaksa menolak rayuan 443 bekas peneroka Felda yang disingkir dari rancangan Felda untuk menjadi peneroka semula kerana pelbagai kesalahan.

Kebanyakan kes itu melibatkan 192 kes penyalahgunaan dadah, 98 (jenayah), 52 (berkhalwat dan berzina dengan isteri orang), 55 (penyelewengan baja) dan lima (menyerang petugas).

Langkah tegas menyingkir peneroka tidak bermoral perlu diteruskan demi kepentingan generasi muda Felda. Ini kerana peneroka bertanggungjawab mencorakkan masa depan remaja masih bersekolah.

Sebagai peneroka generasi pertama atau kedua, sewajarnya ibu bapa menjadi contoh baik kepada generasi ketiga iaitu golongan pelajar sekarang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika ditemui wartawan Pendidikan berkata: ''Kalau orang Felda nak marah, marahlah.''

Kenyataan ini mungkin mengguris hati orang Felda tetapi inilah hakikat dan keadaan sebenar masyarakat Felda hari ini.

Fauzi mendakwa, kelemahan ibu bapa, termasuk dalam ilmu agama, mempengaruhi tingkah laku anak muda termasuk pelajar di penempatan berkenaan.

Fauzi berkata: ''Susah nak tengok masjid atau surau di Felda penuh dengan jemaah. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari. Itu pun orang tua. Mana pergi orang muda?''

Katanya, daripada laporan yang diterima pihaknya mendapati masalah sosial pelajar di Felda berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian berat ke atas pendidikan agama anak-anak.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan ibu bapa di Felda kurang tahu soal agama dan memandang ringan pentingnya pendidikan ilmu itu kepada anak-anak.

''Jika mereka (ibu bapa) sendiri tidak mempunyai asas agama yang kukuh bagi menjadi benteng pertahanan akhlak, sudah tentu anak-anak (pelajar) gagal meneladani perkara baik daripada keluarga,'' katanya.

Selain itu, Fauzi turut meluahkan kekesalan terhadap sikap ibu bapa di Felda yang terlalu bergantung kepada guru sekolah untuk memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak.

Sikap itu katanya menyebabkan akhlak anak muda termasuk pelajar sukar dibentuk dengan sempurna.

''Sebahagian besar masa pelajar adalah di luar kawasan sekolah dan sudah tentu para guru tidak mempunyai masa mencukupi bagi menerap nilai hidup murni di kalangan pelajar.

''Dalam perkara itu, ibu bapa paling bertanggungjawab terhadap pembentukan tingkah laku anak-anak. Kerana itu sewajarnya mereka menjadi contoh baik kepada anak muda,'' katanya.

Menurut Fauzi, ibu bapa perlu mengetahui serba sedikit ilmu agama supaya ia boleh menjadi benteng pertahanan akhlak generasi hari ini dan akan datang. Kekukuhan benteng itu boleh membantu mengurangkan masalah sosial pelajar di Felda,'' katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KFDeLIei © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan