Jumaat, 19 Ogos 2016

‘Saya sayang Malaysia’

NOR KHALILAH GU STI HASSAN
13 OGOS 2016
‘Saya sayang Malaysia’
‘Saya sayang Malaysia’ Musa bersama keretanya yang dilekatkan bendera antara bukti semangat patriotisme yang tidak pernah padam
JENGKA 2 - Semangat patriotisme yang ditunjukkan seorang warga emas wajar dipuji apabila dia mula mengibarkan Jalur Gemilang yang dilekatkan di kenderaannya sejak 1 Ogos lalu.

Musa Ali, 66, peneroka Jengka 2 di sini berkata, perkara itu dilakukannya setiap tahun menjelang bulan kemerdekaan.

“Ini tanda saya sayang Malaysia. Bukan susah dan mahal pun...cuma pasang dan kibarkan. Sebagai warga Malaysia tidak kira apa pun fahaman politik, kita harus sedar bahawa kita rakyat Malaysia. Jika bukan kita yang mendaulatkan negara, siapa lagi?.

“Saya sedih bila lihat tiada siapa pun yang kibarkan bendera, baik di kenderaan atau di rumah.

“Sepanjang perjalanan saya dari Pahang ke Perak melalui Kuala Lumpur, kelmarin  saya belum jumpa lagi kenderaan yang pasang  bendera sedangkan sekarang sudah 10 Ogos. Saya harap orang lain pun akan buat perkara sama,” katanya kepada

pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, sebagai sumbangan peribadi kepada negara, Musa turut berhasrat untuk mengedarkan Jalur Gemilang percuma dan berkonvoi  bersama-sama pemuda kampung, minggu hadapan.

“Apa pun saya kena berbincang dengan pengurus Felda Jengka 2 dan ketua peneroka terlebih dahulu. Kalau tak ada halangan, saya panggil Sinar Harian. Terima kasih sebab beri peluang saya sampaikan rasa cinta saya kepada negara.

“Ingin saya pesan kepada generasi muda, ketepikan dahulu perbezaan politik. Raikan bulan merdeka kita,” kata bekas pesara kerajaan ini.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 13 OGOS 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan