Sabtu, 2 Julai 2016

Tunku Azizah sertai rakyat berbuka puasa

Baginda turut bergotong-royong masak bubur lambuk
SALEHUDIN MAT RASAD  |  24 Jun 2016 12:45 AM
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan sumbangan
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dalam majlis berbuka puasa di Padang Felda Hulu Jempol, Maran, Pahang, semalam.
MARAN 23 Jun - Kira-kira 200 orang menyertai Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memasak 30 periuk bubur lambuk sempena majlis berbuka puasa bersama baginda di padang Felda Hulu Jempol, di sini semalam.
Acara memasak bermula pukul 3 petang itu menghasilkan lebih 6,000 pek bubur lambuk yang diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.
Tunku Azizah Aminah Maimunah menyifatkan acara memasak bubur lambuk pada bulan Ramadan sebagai pengalaman istimewa dan menyeronokkan.
Titah baginda, penggunaan bahan segar, bersih dan mencukupi ketika menyediakan juadah berkenaan adalah penting bagi menjamin keenakan serta mengekalkan aroma yang menyelerakan.
“Saya kagum dengan semangat kerjasama penduduk yang bergotong-royong memasak bubur lambuk tradisional Pahang menggunakan pelbagai bahan seperti daging dan ayam,” titah baginda pada majlis berkenaan.
Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin; Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd.Muttalib; ADUN Chenor, Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail dan ADUN Luit, Nurhidayah Mohd. Shahaimi.
Dalam pada itu, Shahaniza berkata, Tengku Puan Pahang yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang masakan tradisional Pahang berkongsi kepakaran baginda dengan membantu memasukkan bahan penting dalam masakan bubur lambuk yang menjadi kegemaran rakyat pada bulan Ramadan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komuniti dan Multimedia negeri berkata, kesediaan baginda memasak bubur lambuk dan berbuka puasa dengan juadah itu di padang awam Felda Hulu Jempol menjadi kenangan manis kepada rakyat.
“Baginda tidak kekok berbuka puasa bersama rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di kawasan lapang secara santai,” katanya.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/tunku-azizah-sertai-rakyat-berbuka-puasa-1.346338#sthash.44b2uELn.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan