Jumaat, 10 Mac 2017

Tanah peneroka Felda Pasoh tidak dibeli

ARKIB : 28/08/2000
Saudara Pengarang,
SEJAK akhir-akhir ini heboh diperkatakan tentang isu para peneroka di Gugusan Felda Pasoh yang tertipu oleh satu sindiket yang berurusan untuk membeli tanah peneroka.

Ini menimbulkan suasana keresahan terhadap peneroka berkenaan yang dikatakan hampir 2,000 orang terlibat.

Kami adalah pihak yang terlibat secara terus menguruskan hal berkenaan sejak lebih tiga tahun yang lalu kali ini tampil untuk menafikan beberapa perkara dan menjelaskan serba sedikit tentang urusan sebenar dan matlamat serta hala tuju perjalanan projek ini.

Apa yang pihak kami usahakan adalah merupakan satu projek untuk membangunkan semula tanah ladang milik peneroka ke arah yang lebih baik.

Kaedah yang kami akan laksanakan adalah berkonsepkan usaha sama antara peneroka selaku tuan punya tanah dengan pemaju yang akan menerima pelaburan. Kami menafikan kenyataan yang mengatakan bahawa para peneroka akan menjual tanah ladang mereka dan memindah milik kepada pihak lain.

Konsep yang kami fahami ialah tidak ada sistem jual beli dan tidak ada proses pemindahan milik tanah berlaku.

Menerusi perundingan dengan pihak pelabur ia adalah lebih kepada pinjaman tanpa faedah dengan harga senilai RM140,000 pada setiap ekar tanah kami. Pihak pelabur hanya memerlukan jangka masa lebih kurang 15 tahun untuk menerima keuntungan daripada pelaburan ini dan seterusnya menyerahkan semula pembangunan tanah tersebut untuk diteruskan oleh generasi peneroka yang masih ada pada ketika itu.

Pihak kami ingin menjelaskan bahawa sepanjang pengurusan kami berhubung perkara ini, kami tidak pernah mengutip wang daripada peneroka.

Segala kos pengurusan dibiayai oleh kami sendiri selaku pengarah syarikat.

Maka tidak timbul soal peneroka ditipu dengan menanggung kerugian antara RM9,000 hingga RM50,000.

Kami sedar bahawa pengurusan perkara ini bukanlah semudah yang diperkatakan kerana ia memerlukan jangka waktu yang agak lama.

Juga kami maklumkan bahawa sepanjang ingatan kami, para peneroka belum ada menandatangani sebarang dokumen ataupun perjanjian.

Apa yang diperkatakan tentang draf perjanjian yang disediakan pada awal tahun 1997 telah tidak diguna pakai lagi kerana draf tersebut adalah berupa jual beli sedangkan konsep kami tidak sedemikian rupa.

Untuk makluman para peneroka dan pihak yang berkaitan, kami sedari bahawa sepanjang pengurusan ini, kami tidak pernah melanggar mana-mana akta atas dasar individu.

Kami fahami dalam proses untuk menjayakan projek ini, garis panduan pihak kerajaan kami guna pakai. Cuma secara jelasnya belum dapat kami terjemahkan kepada pihak berkuasa atas sebab tertentu.

Insya-Allah perkara ini akan kami utarakan kemudian dan ia tidak lari dari dasar yang telah ditetapkan. Pandangan dan sokongan pihak kerajaan amat kami perlukan.

Berdasarkan kepada kajian awalan yang kami jalankan, jelas kelihatan bahawa kepekaan para peneroka terhadap pembangunan tanah ladang milik mereka sendiri adalah tinggi.

Justeru, keuntungan yang bakal diperoleh oleh para peneroka adalah merupakan pegangan saham atau ekuiti 30 peratus dalam syarikat pemaju dan tabungan amanah saham amanah negeri.

Jelas bahawa keuntungan yang diperoleh adalah untuk jangka masa panjang dan peneroka tidak akan dapat menjadi jutawan dalam sekelip mata. Kemudahan pemilikan kenderaan juga ditawarkan melalui tempahan oleh para peneroka.

Setakat ini belum ada lagi perjanjian rasmi antara peneroka dan pembekal dilakukan. Tempahan yang dibuat adalah merupakan kajian kenderaan dan hasrat peneroka di samping pihak kami membantu syarikat kereta nasional.

Kami jelaskan di sini bahawa dalam pengurusan kami, tidak ada campur tangan pihak luar khususnya dalam kami membuat keputusan. Penglibatan segelintir pihak luar hanyalah sebagai satu pemangkin untuk kami mengenal pasti saluran yang terbaik untuk kami.

Akhir kata kami menegaskan bahawa kami tidak pernah terniat untuk menjual tanah ladang milik peneroka sebaliknya membangun sendiri tanah ladang kami dengan kaedah usaha sama melalui syarikat kami sendiri.

Kami berharap agar para peneroka di Felda Gugusan Pasoh dapat bersabar dan bertenang dalam menangani perkara ini.

Kami perlu memikirkan perkara-perkara yang bernas demi kebaikan kami dan kami tidak mahu tanah milik kami tergadai atau terlepas ke tangan pihak lain.

Kepada pihak-pihak tertentu yang telah menasihati kami tentang hak-hak kami dan kaedah perjalanan program kami diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.

Insya-Allah, sekiranya ketentuan Tuhan berpihak kepada kita, tidak ada apa yang mampu menghalang dan begitulah sebaliknya. - PENEROKA PEMBANGUNAN Felda Gugusan Pasoh, Negeri Sembilan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4avA8hYSa © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 28 Januari 2017

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN JENGKA 12

Oleh-AHMAD BIN YAAKOB
      Sekolah Menengah Kebangsaan Jengka 12 atau nama ringkasnya SMK Jengka 12, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Felda Jengka 12. Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 2002 dengan menumpang di bangunan SK(LKTP) Jengka. Seramai 123 orang pelajar telah mendaftar masuk serta 11 orang guru dan 2 orang kakitangan sokongan telah ditugaskan. Pada Januari 2003 bangunan sekolah SMK Jengka 12 siap dibina dan boleh digunakan sepenuhnya.[1]


      Dari aspek pentadbiran seramai 4 orang pengetua telah berkhidmat di SMK Jengka 12. Pada awal penubuhan,sekolah ini tidak mempunyai pengetua dan hanya ada pemangku pengetua iaitu Tuan Haji  Hayudin Bin Mad Suhur daripada tahun 2002 hingga tahun 2004. Pengetua pertama yang mentadbir SMK Jengka 12 adalah Hajah Wan Maimon Binti Wan Nawi yang berkhidmat selama empat tahun iaitu daripada 1/1/2004 hingga 30/6/2008. Pengetua ini juga telah memohon lonjakan saujana di atas lonjakan peratus PMR pada tahun tersebut dan mendapat gelaran Pengetua Cemerlang di atas permohonan tersebut dan kini beliau telah berkhidmat di SMK Jengka 2.

      Pengetua seterusnya adalah Encik Bahari Bin Mat yang berkhidmat selama 3 tahun daripada tahun 2008 hingga tahun 2011. Pada tahun 2012 Encik Bakri Bin Mohd Saleh pula meneruskan pentadbiran di SMK Jengka 12. Tetapi tidak lama pentadbiran beliau atas permasalahan tertentu iaitu dari bulan 3 hingga bulan 6 tahun 2012.seterusnya Puan Hajah Hafidzah Binti Jono yang merupakan pengetua SMK Jengka 12 terkini yang memulakan perkhidmatannya pada 2 Januari 2013.[2]




[1]Pamplet SMK Jengka 12
[2] Temuramah bersama Hjh Wan Maimon bekas pengetua SMK Jengka 12

Sabtu, 17 Disember 2016

Felda masih kongkong peneroka jual sawit

RKIB : 07/03/2000
Saudara Pengarang,
APABILA sahaja hak milik diserahkan oleh kerajaan negeri kepada peneroka, bererti tanah tersebut sah menjadi hak milik mereka.

Persoalannya sekarang peneroka yang mendapat hak milik seolah-olah tidak diperakui mempunyai hak sebagai pemilik tanah walaupun mendapat geran tanah. Untuk mendapat hak milik syarat utama peneroka hendaklah menjelaskan segala hutang piutang dengan Felda.

Felda masih mengongkong peneroka mesti menjual buah kelapa sawit ke Felda walaupun harga yang ditawarkan adalah rendah iaitu mempunyai perbezaan antara RM30 hingga RM45. Satu metrik tan buah kelapa sawit. Setiap peneroka mampu menghasil lebih kurang 8 tan hingga 10 tan buah kelapa sawit setiap bulan. Bererti setiap peneroka dapat antara RM200 hingga RM300 sebulan jika buah dijual ke kilang Felda jika dibandingkan dengan pembeli luar sama pembeli haram mahupun pembeli sah.

Pihak PORLA pula adalah talam dua muka kerana tidak mahu meluluskan lesen menjual kepada peneroka yang mempunyai hak milik yang sah. Sehubungan ini membenarkan pula pembeli haram (tanpa lesen) di kawasan Felda tanpa apa-apa tindakan kepada pembeli haram. Tindakan hanya diambil kepada peneroka sahaja dengan merampas buah peneroka dan mendenda. Adalah luar biasa undang-undang hari ini di mana pembeli tanpa lesen boleh membeli buah peneroka secara bebas tanpa sekatan undang-undang. Paling menjolok mata timbang-timbang haram ini dibina ataupun beroperasi di tanah-tanah Felda dan bersempadan dengan Felda.

PORLA pula hanya memejamkan mata masalah ini kerana mereka sendiri mempunyai kepentingan peribadi, mereka nampak kaya peneroka tidak mahu mengikut peraturan sedangkan PORLA, pembeli buah lebih teruk lagi dari peneroka. Peneroka yang menjual mempunyai hak milik yang sah sedangkan pembeli wujud di ladang-ladang tanpa lesen.

Paling malang pula PORLA mengeluarkan lesen membeli buah kelapa sawit dalam satu daerah hingga sampai 5 lesen sedangkan kawasan yang ditanam sawit tidak sampai 1,000 ekar.

Kelulusan yang sewenang-wenangnya menyebabkan pembeli terpaksa pula membeli buah yang tidak ada lesen menjual bagi mengelak kerugian pentadbiran dan operasi.

Difahamkan dalam daerah di negeri Pahang ini hampir 50 buah timbang haram yang beroperasi di dalam tanah. Felda di rancangan tanpa lesen. Pembeli ini bebas beroperasi tanpa apa-apa sekatan kerana PORLA sendiri mengadakan timbang haram tidak dikawal oleh satu-satu kilang sahaja.

Di sini dicadangkan kepada PORLA supaya tidak meluluskan lesen sesuka hati kerana akan menimbulkan masalah sesama pembeli buah kelapa sawit.

Diharapkan juga PORLA membanteras pembeli buah sawit secara haram bagi memastikan PORLA tidak dipandang serong oleh masyarakat. - PEMBELI ADA LESEN, Keratong, Pahang


Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm#ixzz4T5VGkkGB © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 13 Disember 2016

Rancangan Felda bukti rakyat miskin terbela

ARKIB : 26/11/1999
BAHAU 25 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembukaan rancangan Felda secara besar-besaran adalah bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan membuka rancangan Felda bagi membela nasib golongan kurang berada di luar bandar supaya dapat menikmati cara hidup yang lebih baik.

Kata beliau, dengan adanya kawasan Felda ramai golongan miskin mendapat peluang menyertai rancangan tanah kelapa sawit dan getah serta menikmati penghidupan lebih baik jika dibandingkan di kawasan kampung sebelum ini.

''Inilah satu-satunya rancangan tanah untuk rakyat kita yang memerlukan bantuan dan satu-satunya rancangan yang bertujuan untuk membela nasib rakyat di luar bandar.

''Mana ada kerajaan yang adil dan saksama yang memastikan bukan hanya golongan tertentu sahaja yang memiliki ladang besar dan perniagaan besar tetapi juga memikirkan nasib golongan kurang berada dengan menyediakan rancangan Felda seperti hari ini,'' tegasnya.

Abdullah berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian bangunan Gabungan Perkembangan Wanita (GPW) Felda Lui Timur, Ayer Hitam, di sini hari ini.

Menurut Abdullah, pembukaan tanah rancangan Felda juga bertujuan membela nasib golongan luar bandar yang tidak mempunyai tanah ataupun menyewa tanah orang lain untuk berkebun.

Katanya, selain mengadakan rancangan Felda, kerajaan juga menyediakan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan luar bandar dan sekolah-sekolah dengan guru-guru terlatih supaya rakyat dapat menikmati hidup yang lebih baik.

''Di negara ini setiap golongan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar boleh menikmati penghidupan lebih baik daripada zaman pemerintahan orang putih sebelum ini,'' ujarnya.

Menurut beliau, semasa negara mencapai kemerdekaan, hampir separuh daripada penduduk luar bandar hidup di bawah tahap kemiskinan tetapi bilangan itu telah dapat dikurangkan sehingga 10 peratus sehingga ini.

''Dengan mengadakan rancangan Felda menunjukkan kerajaan prihatin terhadap golongan miskin yang perlu pembelaan,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4Shmk5OHI © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 19 September 2016

Kejutan kemas rumah

 
ANGGOTA APM menunjukkan ular yang ditangkap.
Padang Besar: Seorang lelaki yang hendak mengemas kawasan di belakang rumahnya terkejut apabila terserempak seekor ular tedung selar di Felda Mata Ayer, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 petang itu, tukang rumah, Sidek Morad, 18, ketika itu sedang mengemaskan bahagian belakang rumahnya dan terkejut melihat kehadiran reptilia itu.

Sidek berkata, dia terus memanggil rakan lain dan cuba memukul reptilia itu tetapi gagal.


“Saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cawangan Padang Besar untuk menangkap ular berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, jurucakap APM Perlis berkata, pihaknya tiba di lokasi itu jam 7.58 dan mendapati terdapat seekor ular tedung selar berukuran tiga meter sedang merayap di kawasan rumah berkenaan.

“Anggota APM mengambil masa 10 minit untuk menangkap reptilia itu.

“Ular yang ditangkap diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:57 AM

Rabu, 14 September 2016

Syor bantu peniaga di rancangan Felda

ARKIB : 20/08/1998
MUAR 19 Ogos - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi diminta melaksanakan satu program bersepadu bagi membantu peniaga-peniaga bumiputera di 365 rancangan Felda di seluruh negara.

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Datuk Ahmad Arshad berkata, usaha bersepadu kedua-dua kementerian itu perlu bagi mengelakkan peniaga dan pengusaha di rancangan berkenaan diperalatkan oleh golongan yang mengutamakan kepentingan diri.

Beliau mendakwa, banyak peniaga-peniaga di rancangan tersebut termasuk di 15 buah pusat bandar Felda di negara ini diperalatkan oleh peniaga luar kerana mereka tidak mempunyai modal yang mencukupi.

''Kedai dan gerai-gerai perniagaan mereka juga tidak tersusun dan dalam keadaan kotor,'' ujarnya di sini hari ini sambil memberitahu ''banyak peniaga luar mengaut keuntungan besar kerana memperalatkan peniaga berkenaan.''

Ahmad berkata, rancangan Felda terutama 15 pusat bandarnya boleh dijadikan lubuk perniagaan bumiputera tulin jika peniaga-peniaga yang terlibat diberi khidmat nasihat dan modal mencukupi.

Kata beliau, kebanyakan mereka menjalankan perniagaan seperti bengkel membaiki motor dan kereta, barang-barang runcit, stesen minyak, perkhidmatan bas dan lain-lain dalam keadaan tidak begitu sempurna.

''Sebahagian daripada mereka ini cuma menjadi ejen kepada peniaga besar dari bandar yang menjual barang-barang tertentu termasuk mesin dan sebagainya.

''Peniaga luar pula menawarkan berbagai kemudahan untuk menarik minat peneroka supaya membeli barangan secara berhutang.

''Ini menjadikan peneroka sentiasa dalam keadaan berhutang,'' ujarnya.

Beliau berharap dengan adanya campur tangan kedua-dua kementerian tersebut, perkara itu dapat diperbetulkan supaya peniaga-peniaga bumiputera tidak terus diperalatkan oleh orang lain tetapi menjadi pengusaha yang tulin.

Beliau juga meminta Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) membangunkan rumah kedai di kawasan Felda untuk membantu peniaga-peniaga bumiputera di rancangan berkenaan berniaga dengan sempurna dan tersusun.

Oleh: TUKIRAN KITAM

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_07.htm#ixzz4KHElroUU © Utusan Melayu (M) Bhd

Pelajar Felda -- Salah laku masih berlaku

ARKIB : 12/08/1998
MUKADIMAH
Mungkinkah kehidupan di kawasan penempatan Felda jauh daripada kesibukan kota menjadi punca keruntuhan akhlak, sekali gus mencipta masalah sosial pelajar Felda?

Atau adakah kerana ibu bapa terlalu sibuk ke ladang sehingga anak-anak terbiar dan memberontak akibat kekurangan kasih sayang. Ia kemudian menjurus mereka ke dalam kancah lembah maksiat?

Atau mungkin juga kerana kemewahan segera peneroka masa kini menjadi punca masalah sosial pelajar Felda?

Wartawan Pendidikan, ROHANA MAN, mengulas isu masalah sosial pelajar Felda hari ini.

KES salah laku sosial dan jenayah seperti penyalahgunaan dadah, berkelakuan sumbang dan menyeleweng masih berleluasa di kawasan penempatan Felda.

Malah laporan daripada tiga kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selama dua tahun mulai 1994 - Perilaku Sosial Remaja di Semenanjung, Kaji Selidik Media melalui Akhbar dan Penyiasatan Kualitatif - menunjukkan Felda menghadapi banyak masalah sosial melibatkan remaja masih bersekolah berbanding kampung tradisional.

Laporan itu mendapat ulasan Penolong Pengarah Cawangan Khidmat Nasihat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sarijah Bejo. Katanya: ''Ini kerana masyarakat Felda terdiri daripada keluarga muda yang mengawal remaja.''

Kajian itu mendapati sebanyak 1,779 tanggungan peneroka terlibat dalam kes mengedar dan menagih dadah, berjudi, mencuri, merompak, memukul, merogol, mencabul kehormatan, berkhalwat, memeras ugut, pelacuran, memalsukan dokumen, mendera kanak-kanak, membuang bayi dan menyertai kongsi gelap sepanjang tahun 1996.

Berikutan itu, sehingga tahun lalu Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi terpaksa menolak rayuan 443 bekas peneroka Felda yang disingkir dari rancangan Felda untuk menjadi peneroka semula kerana pelbagai kesalahan.

Kebanyakan kes itu melibatkan 192 kes penyalahgunaan dadah, 98 (jenayah), 52 (berkhalwat dan berzina dengan isteri orang), 55 (penyelewengan baja) dan lima (menyerang petugas).

Langkah tegas menyingkir peneroka tidak bermoral perlu diteruskan demi kepentingan generasi muda Felda. Ini kerana peneroka bertanggungjawab mencorakkan masa depan remaja masih bersekolah.

Sebagai peneroka generasi pertama atau kedua, sewajarnya ibu bapa menjadi contoh baik kepada generasi ketiga iaitu golongan pelajar sekarang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika ditemui wartawan Pendidikan berkata: ''Kalau orang Felda nak marah, marahlah.''

Kenyataan ini mungkin mengguris hati orang Felda tetapi inilah hakikat dan keadaan sebenar masyarakat Felda hari ini.

Fauzi mendakwa, kelemahan ibu bapa, termasuk dalam ilmu agama, mempengaruhi tingkah laku anak muda termasuk pelajar di penempatan berkenaan.

Fauzi berkata: ''Susah nak tengok masjid atau surau di Felda penuh dengan jemaah. Kalau ada pun boleh dikira dengan jari. Itu pun orang tua. Mana pergi orang muda?''

Katanya, daripada laporan yang diterima pihaknya mendapati masalah sosial pelajar di Felda berpunca daripada sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian berat ke atas pendidikan agama anak-anak.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan ibu bapa di Felda kurang tahu soal agama dan memandang ringan pentingnya pendidikan ilmu itu kepada anak-anak.

''Jika mereka (ibu bapa) sendiri tidak mempunyai asas agama yang kukuh bagi menjadi benteng pertahanan akhlak, sudah tentu anak-anak (pelajar) gagal meneladani perkara baik daripada keluarga,'' katanya.

Selain itu, Fauzi turut meluahkan kekesalan terhadap sikap ibu bapa di Felda yang terlalu bergantung kepada guru sekolah untuk memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak.

Sikap itu katanya menyebabkan akhlak anak muda termasuk pelajar sukar dibentuk dengan sempurna.

''Sebahagian besar masa pelajar adalah di luar kawasan sekolah dan sudah tentu para guru tidak mempunyai masa mencukupi bagi menerap nilai hidup murni di kalangan pelajar.

''Dalam perkara itu, ibu bapa paling bertanggungjawab terhadap pembentukan tingkah laku anak-anak. Kerana itu sewajarnya mereka menjadi contoh baik kepada anak muda,'' katanya.

Menurut Fauzi, ibu bapa perlu mengetahui serba sedikit ilmu agama supaya ia boleh menjadi benteng pertahanan akhlak generasi hari ini dan akan datang. Kekukuhan benteng itu boleh membantu mengurangkan masalah sosial pelajar di Felda,'' katanya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KFDeLIei © Utusan Melayu (M) Bhd