Selasa, 13 Disember 2016

Rancangan Felda bukti rakyat miskin terbela

ARKIB : 26/11/1999
BAHAU 25 Nov. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pembukaan rancangan Felda secara besar-besaran adalah bukti kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan miskin dan penduduk luar bandar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan membuka rancangan Felda bagi membela nasib golongan kurang berada di luar bandar supaya dapat menikmati cara hidup yang lebih baik.

Kata beliau, dengan adanya kawasan Felda ramai golongan miskin mendapat peluang menyertai rancangan tanah kelapa sawit dan getah serta menikmati penghidupan lebih baik jika dibandingkan di kawasan kampung sebelum ini.

''Inilah satu-satunya rancangan tanah untuk rakyat kita yang memerlukan bantuan dan satu-satunya rancangan yang bertujuan untuk membela nasib rakyat di luar bandar.

''Mana ada kerajaan yang adil dan saksama yang memastikan bukan hanya golongan tertentu sahaja yang memiliki ladang besar dan perniagaan besar tetapi juga memikirkan nasib golongan kurang berada dengan menyediakan rancangan Felda seperti hari ini,'' tegasnya.

Abdullah berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian bangunan Gabungan Perkembangan Wanita (GPW) Felda Lui Timur, Ayer Hitam, di sini hari ini.

Menurut Abdullah, pembukaan tanah rancangan Felda juga bertujuan membela nasib golongan luar bandar yang tidak mempunyai tanah ataupun menyewa tanah orang lain untuk berkebun.

Katanya, selain mengadakan rancangan Felda, kerajaan juga menyediakan kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan luar bandar dan sekolah-sekolah dengan guru-guru terlatih supaya rakyat dapat menikmati hidup yang lebih baik.

''Di negara ini setiap golongan rakyat sama ada di bandar atau luar bandar boleh menikmati penghidupan lebih baik daripada zaman pemerintahan orang putih sebelum ini,'' ujarnya.

Menurut beliau, semasa negara mencapai kemerdekaan, hampir separuh daripada penduduk luar bandar hidup di bawah tahap kemiskinan tetapi bilangan itu telah dapat dikurangkan sehingga 10 peratus sehingga ini.

''Dengan mengadakan rancangan Felda menunjukkan kerajaan prihatin terhadap golongan miskin yang perlu pembelaan,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_03.htm#ixzz4Shmk5OHI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan