ARKIB : 12/08/1998
MUKADIMAH
Mungkinkah kehidupan di kawasan
penempatan Felda jauh daripada kesibukan kota menjadi punca keruntuhan akhlak,
sekali gus mencipta masalah sosial pelajar Felda?
Atau adakah kerana ibu bapa
terlalu sibuk ke ladang sehingga anak-anak terbiar dan memberontak akibat
kekurangan kasih sayang. Ia kemudian menjurus mereka ke dalam kancah lembah
maksiat?
Atau mungkin juga kerana
kemewahan segera peneroka masa kini menjadi punca masalah sosial pelajar Felda?
Wartawan Pendidikan, ROHANA
MAN, mengulas isu masalah sosial pelajar Felda hari ini.
KES salah laku sosial dan
jenayah seperti penyalahgunaan dadah, berkelakuan sumbang dan menyeleweng masih
berleluasa di kawasan penempatan Felda.
Malah laporan daripada tiga
kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) selama dua
tahun mulai 1994 - Perilaku Sosial Remaja di Semenanjung, Kaji Selidik Media
melalui Akhbar dan Penyiasatan Kualitatif - menunjukkan Felda menghadapi banyak
masalah sosial melibatkan remaja masih bersekolah berbanding kampung
tradisional.
Laporan itu mendapat ulasan
Penolong Pengarah Cawangan Khidmat Nasihat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM), Sarijah Bejo. Katanya: ''Ini kerana masyarakat Felda terdiri daripada
keluarga muda yang mengawal remaja.''
Kajian itu mendapati sebanyak
1,779 tanggungan peneroka terlibat dalam kes mengedar dan menagih dadah,
berjudi, mencuri, merompak, memukul, merogol, mencabul kehormatan, berkhalwat,
memeras ugut, pelacuran, memalsukan dokumen, mendera kanak-kanak, membuang bayi
dan menyertai kongsi gelap sepanjang tahun 1996.
Berikutan itu, sehingga tahun
lalu Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi terpaksa menolak rayuan 443
bekas peneroka Felda yang disingkir dari rancangan Felda untuk menjadi peneroka
semula kerana pelbagai kesalahan.
Kebanyakan kes itu melibatkan
192 kes penyalahgunaan dadah, 98 (jenayah), 52 (berkhalwat dan berzina dengan
isteri orang), 55 (penyelewengan baja) dan lima (menyerang petugas).
Langkah tegas menyingkir
peneroka tidak bermoral perlu diteruskan demi kepentingan generasi muda Felda.
Ini kerana peneroka bertanggungjawab mencorakkan masa depan remaja masih
bersekolah.
Sebagai peneroka generasi
pertama atau kedua, sewajarnya ibu bapa menjadi contoh baik kepada generasi
ketiga iaitu golongan pelajar sekarang.
Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman ketika ditemui wartawan Pendidikan
berkata: ''Kalau orang Felda nak marah, marahlah.''
Kenyataan ini mungkin mengguris
hati orang Felda tetapi inilah hakikat dan keadaan sebenar masyarakat Felda
hari ini.
Fauzi mendakwa, kelemahan ibu
bapa, termasuk dalam ilmu agama, mempengaruhi tingkah laku anak muda termasuk
pelajar di penempatan berkenaan.
Fauzi berkata: ''Susah nak
tengok masjid atau surau di Felda penuh dengan jemaah. Kalau ada pun boleh
dikira dengan jari. Itu pun orang tua. Mana pergi orang muda?''
Katanya, daripada laporan yang
diterima pihaknya mendapati masalah sosial pelajar di Felda berpunca daripada
sikap ibu bapa yang tidak memberi perhatian berat ke atas pendidikan agama
anak-anak.
Beliau turut menjelaskan
kebanyakan ibu bapa di Felda kurang tahu soal agama dan memandang ringan
pentingnya pendidikan ilmu itu kepada anak-anak.
''Jika mereka (ibu bapa)
sendiri tidak mempunyai asas agama yang kukuh bagi menjadi benteng pertahanan
akhlak, sudah tentu anak-anak (pelajar) gagal meneladani perkara baik daripada
keluarga,'' katanya.
Selain itu, Fauzi turut
meluahkan kekesalan terhadap sikap ibu bapa di Felda yang terlalu bergantung
kepada guru sekolah untuk memberi didikan agama dan moral kepada anak-anak.
Sikap itu katanya menyebabkan
akhlak anak muda termasuk pelajar sukar dibentuk dengan sempurna.
''Sebahagian besar masa pelajar
adalah di luar kawasan sekolah dan sudah tentu para guru tidak mempunyai masa
mencukupi bagi menerap nilai hidup murni di kalangan pelajar.
''Dalam perkara itu, ibu bapa
paling bertanggungjawab terhadap pembentukan tingkah laku anak-anak. Kerana itu
sewajarnya mereka menjadi contoh baik kepada anak muda,'' katanya.
Menurut Fauzi, ibu bapa perlu
mengetahui serba sedikit ilmu agama supaya ia boleh menjadi benteng pertahanan
akhlak generasi hari ini dan akan datang. Kekukuhan benteng itu boleh membantu
mengurangkan masalah sosial pelajar di Felda,'' katanya.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_02.htm#ixzz4KFDeLIei
© Utusan Melayu (M) Bhd