ARKIB : 28/08/2000
Saudara Pengarang,
SEJAK akhir-akhir ini heboh
diperkatakan tentang isu para peneroka di Gugusan Felda Pasoh yang tertipu oleh
satu sindiket yang berurusan untuk membeli tanah peneroka.
Ini menimbulkan suasana
keresahan terhadap peneroka berkenaan yang dikatakan hampir 2,000 orang
terlibat.
Kami adalah pihak yang terlibat
secara terus menguruskan hal berkenaan sejak lebih tiga tahun yang lalu kali
ini tampil untuk menafikan beberapa perkara dan menjelaskan serba sedikit
tentang urusan sebenar dan matlamat serta hala tuju perjalanan projek ini.
Apa yang pihak kami usahakan
adalah merupakan satu projek untuk membangunkan semula tanah ladang milik
peneroka ke arah yang lebih baik.
Kaedah yang kami akan
laksanakan adalah berkonsepkan usaha sama antara peneroka selaku tuan punya
tanah dengan pemaju yang akan menerima pelaburan. Kami menafikan kenyataan yang
mengatakan bahawa para peneroka akan menjual tanah ladang mereka dan memindah
milik kepada pihak lain.
Konsep yang kami fahami ialah
tidak ada sistem jual beli dan tidak ada proses pemindahan milik tanah berlaku.
Menerusi perundingan dengan
pihak pelabur ia adalah lebih kepada pinjaman tanpa faedah dengan harga senilai
RM140,000 pada setiap ekar tanah kami. Pihak pelabur hanya memerlukan jangka
masa lebih kurang 15 tahun untuk menerima keuntungan daripada pelaburan ini dan
seterusnya menyerahkan semula pembangunan tanah tersebut untuk diteruskan oleh
generasi peneroka yang masih ada pada ketika itu.
Pihak kami ingin menjelaskan
bahawa sepanjang pengurusan kami berhubung perkara ini, kami tidak pernah
mengutip wang daripada peneroka.
Segala kos pengurusan dibiayai
oleh kami sendiri selaku pengarah syarikat.
Maka tidak timbul soal peneroka
ditipu dengan menanggung kerugian antara RM9,000 hingga RM50,000.
Kami sedar bahawa pengurusan
perkara ini bukanlah semudah yang diperkatakan kerana ia memerlukan jangka
waktu yang agak lama.
Juga kami maklumkan bahawa
sepanjang ingatan kami, para peneroka belum ada menandatangani sebarang dokumen
ataupun perjanjian.
Apa yang diperkatakan tentang
draf perjanjian yang disediakan pada awal tahun 1997 telah tidak diguna pakai
lagi kerana draf tersebut adalah berupa jual beli sedangkan konsep kami tidak
sedemikian rupa.
Untuk makluman para peneroka
dan pihak yang berkaitan, kami sedari bahawa sepanjang pengurusan ini, kami
tidak pernah melanggar mana-mana akta atas dasar individu.
Kami fahami dalam proses untuk
menjayakan projek ini, garis panduan pihak kerajaan kami guna pakai. Cuma
secara jelasnya belum dapat kami terjemahkan kepada pihak berkuasa atas sebab
tertentu.
Insya-Allah perkara ini akan
kami utarakan kemudian dan ia tidak lari dari dasar yang telah ditetapkan.
Pandangan dan sokongan pihak kerajaan amat kami perlukan.
Berdasarkan kepada kajian
awalan yang kami jalankan, jelas kelihatan bahawa kepekaan para peneroka
terhadap pembangunan tanah ladang milik mereka sendiri adalah tinggi.
Justeru, keuntungan yang bakal
diperoleh oleh para peneroka adalah merupakan pegangan saham atau ekuiti 30
peratus dalam syarikat pemaju dan tabungan amanah saham amanah negeri.
Jelas bahawa keuntungan yang
diperoleh adalah untuk jangka masa panjang dan peneroka tidak akan dapat
menjadi jutawan dalam sekelip mata. Kemudahan pemilikan kenderaan juga
ditawarkan melalui tempahan oleh para peneroka.
Setakat ini belum ada lagi
perjanjian rasmi antara peneroka dan pembekal dilakukan. Tempahan yang dibuat
adalah merupakan kajian kenderaan dan hasrat peneroka di samping pihak kami
membantu syarikat kereta nasional.
Kami jelaskan di sini bahawa
dalam pengurusan kami, tidak ada campur tangan pihak luar khususnya dalam kami
membuat keputusan. Penglibatan segelintir pihak luar hanyalah sebagai satu
pemangkin untuk kami mengenal pasti saluran yang terbaik untuk kami.
Akhir kata kami menegaskan
bahawa kami tidak pernah terniat untuk menjual tanah ladang milik peneroka
sebaliknya membangun sendiri tanah ladang kami dengan kaedah usaha sama melalui
syarikat kami sendiri.
Kami berharap agar para
peneroka di Felda Gugusan Pasoh dapat bersabar dan bertenang dalam menangani
perkara ini.
Kami perlu memikirkan
perkara-perkara yang bernas demi kebaikan kami dan kami tidak mahu tanah milik
kami tergadai atau terlepas ke tangan pihak lain.
Kepada pihak-pihak tertentu
yang telah menasihati kami tentang hak-hak kami dan kaedah perjalanan program
kami diucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih.
Insya-Allah, sekiranya
ketentuan Tuhan berpihak kepada kita, tidak ada apa yang mampu menghalang dan
begitulah sebaliknya. - PENEROKA PEMBANGUNAN Felda Gugusan Pasoh, Negeri
Sembilan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm#ixzz4avA8hYSa
© Utusan Melayu (M) Bhd